baiklah kali ini kita
akan membahas mengenai kisah Nabi Yahya AS pada zaman rasul, nah ni
kisah nabi and rasul kita selanjutnya moga bermanfaat buat sobat semua.. ...
Nabi Zakaria, ayahnya
Nabi Yahya sedar dan mengetahui bahawa anggota-anggota keluarganya,
saudara-saudaranya, sepupu-sepupunya dan anak-anak saudaranya adalah
orang-orang jahat Bani Israil yang tidak segan-segan melanggar hukum-hukum
agama dan berbuat maksiat, disebabkan iman dan rasa keagamaan mereka belum
meresap betul didalam hati mereka, sehingga dengan mudah mereka tergoda dan
terjerumus ke dalam lembah kemungkaran dan kemaksiatan. Ia khuatir bila ajalnya
tiba dan meninggalkan mereka tanpa seorang waris yang dapat melanjutkan
pimpinannya atas kaumnya, bahawa mereka akan makin rusak dan makin berani
melakukan kejahatan dan kemaksiatan bahkan ada kemungkinan mereka mengadakan
perubahan-perubahan di dalam kitab suci Taurat dan menyalah-gunakan hukum-hukum
agama.
Kekhuatiran itu selalu
mengganggu fikiran Zakaria disamping rasa sedih hatinya bahawa ia sejak kahwin
hingga mencapai usia sembilan puluh tahun, Tuhan belum mengurniakannya dengan
seorang anak yang ia idam-idamkan untuk menjadi penggantinya memimpin dan
mengimami Bani Isra’il. Ia agak terhibur dari rasa sedih dan kekhuatirannya
semasa ia bertugas memelihara dan mengawasi Maryam yang dapat dianggap sebagai
anak kandungnya sendiri. Akan tetapi rasa sedihnya dan keinginanya yang kuat
untuk memperolhi keturunan tergugah kembali ketika ia menyaksikan mukjizat
hidangan makanan dimihrabnya Maryam. Ia berfikir didalam hatinya bahawa tiada
sesuatu yang mustahil di dalam kekuasaan Allah. Allah yang telah memberi rezeki
kepada Maryam dalam keadaan seorang diri tidak berdaya dan berusaha, Dia pula berkuasa
memberinya keturunan bila Dia kehendaki walaupun usianya sudah lanjut dan
rambutnya sudah penuh uban.
Pada suatu malam
yang sudah larut duduklah Zakaria di mihramnya menghiningkan cipta memusatkan
fikiran kepada kebesaran Allah seraya bermunajat dan berdoa dengan khusyuk dan
keyakinan yang bulat. Dengan suara yang lemah lembut berucaplah ia dalam
doanya: “Ya Tuhanku berikanlah aku seorang putera yang akan mewarisiku dan
mewarisi sebahagian dari keluarga Ya’qub, yang akan meneruskan pimpinan dan tuntunanku
kepada Bani Isra’il. Aku khuatir bahawa sepeninggalanku nanti anggota-anggota
keluargaku akan rusak kembali aqidah dan imannya bila aku tinggalkan mati tanpa
seorang pemimpin yang akan menggantikan aku. Ya Tuhanku, tulangku telah menjadi
lemah dan kepalaku telah dipenuhi uban sedang isteriku adalah seorang perempuan
yang mandul namun kekuasaan-Mu adalah diatas segala kekuasaan dan aku tidak
jemu-jemunya berdoa kepadamu memohon rahmat-Mu mengurniai kau seorang putera
yang soleh yang engkau redhai.”
Allah berfirman
memperkenankan permohonan Zakaria: “Hai Zakaria Kami memberi khabar gembira
kepadamu, kamu akan memperoleh seorang putera bernama Yahya yang soleh yang
membenarkan kitab-kitab Allah menjadi pemimpin yang diikuti bertahan diri dari
hawa nafsu dan godaan syaitan serta akan menjadi seorang nabi.”
Berkata Zakaria: “Ya
Tuhanku bagaimana aku akan memperolehi anak sedangkan isteri adalah seorang
perempuan yang mandul dan aku sendiri sudah lanjut usianya.”
Allah menjawab dengan
firman-Nya: “Demikian itu adalah suatu hal yang mudah bagi-Ku. Tidakkah aku
telah ciptakan engkau padahal engkau di waktu itu belum ada sama sekali?”
Berkata Zakaria: “Ya
Tuhanku, berilah aku akan suatu tanda bahawa isteri aku telah mengandung.”
Allah berfirman: “Tandanya bagimu bahawa engkau tidak dapat berkata-kata dengan
manusia selama tiga hari berturut-turut kecuali dengan isyarat. Dan sebutlah
nama-Ku sebanyak-banyaknya serta bertasbihlah diwaktu petang dan pagi hari.”
Nabi Yahya bin Zakaria
a.s. tidak banyak dikisahkan oleh Al-Quran kecuali bahawa ia diberi ilmu dan
hikmah selagi ia masih kanak-kanak dan bahawa ia seorang putera yang berbakti
kepada kedua ora ng tuanya dan bukanlah orang yang sombong durhaka. Ia terkenal
cerdik pandai, berfikiran tajam sejak ia berusia muda, sangat tekun beribadah
yang dilakukan siang dan malam sehingga berpengaruh kepada kesihatan badannya
dan menjadikannya kurus kering, wajahnya pucat dan matanya cekung.
Ia dikenal oleh kaumnya
sebagai orang alim menguasai soal-soal keagamaan, hafal kitab Taurat, sehingga
ia menjadi tempat bertanya tentang hukum-hukum agama. Ia memiliki keberanian
dalam mengambil sesuatu keputusan, tidak takut dicerca orang dan tidak pula
menghiraukan ancaman pihak penguasa dalam usahanya menegakkan kebenaran dan
melawan kebathilan.
Ia selalu menganjurkan
orang-orang yang telah berdosa agar bertaubat dari dosanya. Dan sebagai tanda
taubatnya mereka dipermandikan { dibaptiskan } di sungai Jordan, kebiasaan mana
hingga kini berlaku di kalangan orang-orang Kristian dan kerana Nabi Yahya
adalah orang pertama yang mengadakan upacara itu, maka ia dijuluki “Yahya
Pembaptis”.
Dikisahkan bahawa
Hirodus Penguasa Palestin pada waktu itu mencintai anak saudaranya sendiri
bernama Hirodia, seorang gadis yang cantik, ayu, bertubuh lampai dan ramping
dan berhasrat ingin mengahwininya. Sang gadis berserta ibunya dan seluruh
anggota keluarga menyentujui rencan perkahwinan itu, namun Nabi Yahya
menentangnya dan mengeluarkan fakwa bahawa perkahwinan itu tidak boleh
dilaksanakan kerana bertentangan dengan syariat Musa yang mengharamkan seorang
mengahwini anak saudaranya sendiri.
Berita rencana
perkahwinan Hirodus dan Hirodia serta fatwa Nabi Yahya yang melarangnya tersiar
di seluruh pelosok kota
dan menjadi pembicaraan orang di segala tempat di mana orang berkumpul. Herodia
si gadis cantik calon isteri itu merasa sedih bercampur marah terhadap Nabi
Yahya yang telah mengeluarkan fatwa mengharamkan perkahwinannya dengan bapa
saudaranya sendiri, fatwa mana telah membawa reaksi dan pendapat dikalangan masyarakat
yang luas. Ia khuatir bahawa bapa saudaranya Herodus calon suami dapat
terpengaruh oleh fatwa Nabi Yahya itu dan terpaksa membatalkan perkahwinan yang
sudah dinanti-nanti dan diidam-idamkan, bahkan bahkan sudah menyiapkan segala
sesuatu berupa pakaian mahupun peralatan yang perlu untuk pesta perkahwinan
yang telah disepakati itu.
Menghadapi fatwa Nabi
Yahya dan reaksi masyarakat itu, Herodia tidak tinggal diam. Ia berusaha dengan
bersenjatakan kecantikkan dan parasnya yang ayu itu mempengaruhi bapa
saudaranya calon suaminya agar rencana perkahwinan dilaksanakan menurut
rencana. Dengan merias diri dan berpakaian yang merangsang, ia pergi
mengunjungi bapa saudaranya Herodus yang sedang dilanda mabuk asmara. Bertanya Herodus kepada anak
saudaranya calon isterinya yang nampak lebih cantik daripada biasa : “Hai
manisku, apakah yang dapat aku berbuat untukmu. Katakanlah aku akan patuhi
segala permintaanmu, kedatanganmu kemari pada saat ini tentu didorong oleh
sesuatu hajat yang mendesak yang ingin engkau sampaikan kepadaku. Sampaikanlah
kepadaku tanpa ragu-ragu, hai sayangku, aku sedia melayani segala keperluan dan
keinginanmu.”
Herodia menjawab: “Bila
Tuan Raja berkenan, maka aku hanya mempunyai satu permintaan yang mendorongku
datang mengunjungi Tuanku pada saat ini. Permintaanku yang tunggal itu ialah
kepala Yahya bin Zakaria orang yang telah mengacau rencana kita dan mencemarkan
nama baik Tuan Raja dan namaku sekeluarga di segala tempat dan penjuru. Supaya
dia dipenggal kepalanya. Alangkah puasnya hatiku dan besarnya terima kasihku,
bila Tuanku berkenan meluluskan permintaanku ini”.
Herodus yang sudah
tergila-gila dan tertawan hatinya oleh kecantikan dan keelokan Herodia tidak
berkulik menghadapi permintaan calon isterinya itu dan tidak dapat berbuat selain
tunduk kepada kehendaknya dengan mengabaikan suara hati nuraninya dan panggilan
akal sihatnya. Demikianlah maka tiada berapa lama dibawalah kepala Yahya bin
Zakaria berlumuran darah dan diletakkannya di depan kesayangannya Herodia yang
tersenyum tanda gembira dan puas hati bahawa hasratnya membalas dendam terhadap
Yahya telah terpenuhi dan rintangan utama yang akan menghalangi rencana
perkahwinannta telah tersingkirkan, walaupun perbuatannya itu menurunkan laknat
Tuhan atas dirinya, diri rajanya dan Bani Isra’il seluruhnya.
Cerita tentang Zakaria
dan Yahya terurai di atas dikisahkan oleh Al-Quran, surah Maryam ayat 2
sehingga ayat 15, surah Ali Imran ayat 38 senhingga ayat 41 dan surah
Al-Anbiya’ ayat 89 sehingga ayat 90.
demikian kisah Nabi Yahya AS semoga bermanfaat.
Tidak ada komentar:
Posting Komentar